Sunday, October 23, 2011

Tokoh ilmuan Islam abad ke 9 H


Terdapat banyak ayat dalam Al-Qur’an yang telah memberi anspirasi kepada orang Islam untuk membuat penyelidikan dalam bidang geografi dan pelayaran. Antaranya ialah Surah al-Ra’d : 3 yang bermaksud : Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas dan menjadikan gunung-ganang yang berdiri kukuh serta sungai-sungai yang mengalir. Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasangan ( jantan dan betina ). Dia tutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda-tanda bagi kaum yang memikirkannya. Ayat-ayat yang sangat indah ini telah memberi anspirasi kepada orang Islam untuk membuat penyelidikan dalam ilmu geografi. Jadi orang Arab pada masa itu mula mencari alat-alat dan pekakas orang Yunani yang berguna untuk tujuan penerokaan dan pengembaraan serta perkembangannya selari dengan kehendak Allah s.w.t.
Oleh yang demikian lahirlah tokoh-tokoh geografi dan tokoh-tokoh pelayaran Islam yang terkenal seperti al-Mas’udi, al-Khawarizmi, al-Maqdisi, al-Battani, al-Ya’qubi, Abu Zayd al-Bakhi, al-Istakhri, Ibn Hawqal dan sebagainya. Sumbangan yang diberikan mereka dalam bidang geografi dan pelayaran amat penting dalam mengembangkan ilmu tersebut sehingga menjadi rujukan pula oleh orang Barat[1].
Salah seorang tokoh yang terkemuka dalam bidang geografi telah memberi banyak sumbangan sehingga ke hari ini. Sumbangan ilmuan dalam bidang geografi ini telah membantu perkembangan yang lebih maju dalam bidang ini.
Salah seorang tokoh terkemuka dalam bidang ini pada abad ke 9 H ialah Ibnu Majid. Nama sebenar beliau ialah Syihabuddin Ahmad bin Majid As Sa’di bin Ar Rakaib An-Najdi. Berasal daripada Bani Tamim. Ilmuan ini telah dilahirkan di Julphar yang sekarang ini dikenali sebagai Ras Al Khaimah yang berada di salah satu dari tujuh kota Uni Emirat Arab pada tahun 1421 M. Beliau merupakan keturunan daripada keluarga pelaut, ayah serta datuknya merupakan pelaut. Oleh kerana beliau mula belayar pada usia 17 tahun, Ibnu Majid sudah agak jaguh dalam mengemudi kapal. Akhirnya beliau juga terkenal sebagai pelayar terkemuka yang dikenali di bumi Islam dan juga di Barat.
Ibnu Majid telah mendapatkan pendidikan agama dan bahasa pada masa kecilnya. Beliau belajar matematik Arab dan India, ilmu menentukan waktu, geografi dan astronomi. Beliau telah mempelajari banyak buku yang menjadi dasar dalam ilmu-ilmu tersebut. Ketika beliau melalui saat-saat perjalanan dan pengembaraannya ke pelbagai tempat, beliau telah berhasil mempelajari beberapa bahasa. Di antaranya bahasa Sanserkerta ( bahasa pengantar yang dipakai di India pada saat itu ), Persia, Sawahiliyah ( bahasa pesisir tenggara Afrika ), dan Jawa ( bahasa pengantar pulau Jawa ). Di dalam karya tulisannya beliau telah menyebut istilah-istilah pelayaan yang mencakup semua bahasa yang dikuasai.
Berdasarkan ilmu geografi yang dimiliki oleh beliau, pelbagai kawasan laut telah dijelaskan secara terperinci seperti Laut Arab, Laut Hindi, Selat Melaka, Laut Jawa dan Laut China Selatan menggunakan teori yang telah direka cipta. Perolehan-perolehan beliau dari aspek sosiobudaya, politik, ekonomi, agama dan alam sekitar telah ditulis dengan terperinci tentang Melaka, Sumatera, Brunei, Champa, Palembang, Sunda, Surabaya, Andaman, Karimun, Singapura, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan,Klang, Maluku dan lain-lain di tempat di alam Nusantara ( Tibbetes, 1979 ).
Penglibatan beliau sebagai pengembara Islam dalam mencari ilmu-ilmu baru dan pengalaman oleh ahli-ahli Islam merupakan bukti bahawa beliau adalah tokoh yang membuat catatan dan praktikal yang kemudiannya menjadi rujukan yang utama bagi tokoh-tokoh sarjana Eropah dan Islam kemudiannya. Dalam menyatakan kehebatan sarjana geografi Islam ini, Arnold iaitu seorang pengkaji sejarah Barat telah menjelaskan bahawa beliau ini merupakan simbol keberanian dan ketabahan dalam mencari pengalaman dan pengetahuan yang asli oleh kerana peralatan pelayaran dan perjalanan yang masih belum sempurna, jenis kenderaan darat dan laut yang sangat tidak cekap dan pengetahuan tentang arah dan selok belok perjalanan yang sangat tidak lengkap. Semuanya merupakan faktor-faktor yang menjadikan pelayaran dan pengembaraan pada zaman pertengahan penuh risiko dan bahaya. Walaupun dalam keadaan yang serba-serbi kekurangan inilah beliau sebagai pengembara Islam telah menjelajah dua per tiga daripada permukaan bumi. Ini adalah suatu yang tidak boleh diperkecilkan dan dinafikan.
Ibnu Majid juga melakukan kajian geografi fizikal, geografi fizikal ialah satu bidang yang mengkaji ‘geografi astronomi’ tentang planet bumi, alam semesta dan hubungan antara kedua-duanya. Kajian ini juga menumpukan aspek geomoforlagi yang menyentuh aspek dan teori-teori tentang sifat-sifat khusus sesuatu kawasan dan kejadiaan bentuk-bentuk bumi serta taburannya pada tempat-tempat tertentu. Ia juga disebut juga sebagai ‘geografi kawasan’. Sarjana Islam ini telah pun membuat kajian tentang geografi fizikal dari aspek ciri-ciri fenomena yang ada hubungan dan pengaruh kosmik seperti pasang surut air dan pengaruh edaran kosmik ke atas perubahan-perubahan geografi serta ciri-ciri litosfera, hidrosfera dan biogeografi[2].
Sumbangan beliau dan juga para sarjana Islam yang lain dalam bidang geografi juga telah mencipta konsep-konsep tentang atmosfera. Kajian sarjana geografi Islam tentang atsmosfera bumi boleh dinyatakan sebagai satu kajian tentang fenomena atmosfera dan cuaca. Perbezaan insolasi ( agihan kepanasan matahari ) di antara sesuatu kawasan dengan kawasan yang lain disebabkan oleh sudut tuju sinar matahari di mana semakin besar sudut tuju ini maka semakin sedikitlah haba matahari yang diterima di tempat berkenaan. Mereka juga telah memperoleh jawapan tentang permukaan daratan yang menjadi panas adalah disebabkan oleh penyerapan haba dari matahari. Mereka juga telah mengetahui bagaimana udara yang telah menjadi panas akan menjadi ringan dan naik ke atas lalu mewujudkan arus perolakan. Begitu juga definisi mengenai sejatan dan pemeluapan ini.
Berdasarkan teori sejatan dan pemeluapan ini, mereka telah dapat menerangkan mengenai pembentukan awan dan kejadian hujan, salji, kabus dan embun. Hujan terjadi akibat daripada pergerakan wap yang naik ke atas akibat kepanasan matahari dan akan mengalami sekatan oleh lapisan udara yang sejuk tetapi wap tersebut akan terus bertambah dan menebal. Ini membawa kepada terbentuknya awan yang kering apabila cuaca menjadi panas dan menjadi sejuk apabila ia bertambah berat sehingga terpeluwap dan menjadi hujan. Kabus dan embun terjadi apabila wap yang telah tepu bertemu dengan lapisan udara sejuk pada malam hari yang terhalang daripada bergerak untuk naik ke atas. Salji pula terjadi apabila wap bergerak naik pada kadar ketinggian yang tertentu sehingga suhu terlalu sejuk yang menyebabkannya menjadi beku. Berdasarkan kepada peredaran dan perubahan cuaca tadi, ahli-ahli geografi Islam telah membahagikan dunia ini kepada tiga iklim iaitu zon panas, zon sejuk dan zon sederhana.
Pada awal zaman pertengahan, para sarjana geografi Islam termasuk Ibnu Majid menumpukan aspek sebab-musabab pasang surutnya air, asal kejadian lautan dan kemasinan air laut. Mereka telah mengemukakan beberapa teori seperti pasang surut air disebabkan oleh hubungan haba yang terbit daripada sinar matahari dan bulan serta pergerakan air laut adalah bertalian dengan arah pergerakan angin ( Surah Alavi, 1966 ). Dalam menghuraikan asal kejadian lautan, ahli geografi Islam ini sependapat dengan ahli geografi Yunani iaitu laut dan lautan terjadi daripada peninggalan kelembapan primitif. Sebahagian besar daripada kelembapan ini telah kering menjadi daratan dan sebahagian lagi tinggal dalam kelembapan lalu menjadi laut dan lautan. Tentang kemasinan air laut pula, ia dikatakan berpuncaa daripada sejatan air lembut yang tertinggal atau jika air tenang untuk beberapa lama maka ia akan menjadi masin, berat dan padat.
Ibnu Majid bukan hanya dikenali dalam bidang geografi, bahkan juga dalam bidang Ilmu Pelayaran dan Pengembaraan. Ilmu dalam bidang geografi membolehkan beliau juga turut hebat dalam bidang pelayaran. Beliau diberi gelaran ‘Singa Lautan’ ini adalah kerana keberanian dalam mengharungi lautan. Beliau juga terkenal sebagai ahli pembuat peta dan juga kompas. Lantaran beliau terbiasa mengikuti pelayaran di Laut Merah bersama ayahnya, beliau bersama teman-temannya melakukan pelayaran di beberapa daerah. Dengan berbekalkan kebaranian dan tekat beliau bersama sekelompok pelaut melakukan penjelajahan yang lebih luas. Beliau turut mengharungi Samudera Hindia. Oleh kerana penjelajahan yang begitu lama di Samudera Hindia menjadikan Ibnu Majid sangat memahami seluk beluk daerah itu.

Ahmad bin Majid mempunyai beberapa penemuan dalam bidang pelayaran dan kelautan yang tercermin dalam bidang pelayaran yang beliau lakukan dengan kapalnya dengan betul-betul berjaya. Sebuah pelayaran yang tidak dapat dilakukan kecuali oleh nakhoda yang berpengalaman dan faham tentang ilmu pelayaran.
Berkat keberaniannya menyusuri daerah baru yang jarang dikunjungi, Ibnu Majid semakin terkenal. Setiap penjelajahannya dibantu oleh alat canggih seperti kompas yang dibuatnya sendiri. Kompas hasil buatan Ibnu Majid adalah jauh lebih detail dari kompas moden sekarang. Dengan bantuan kompasnya juga, beliau berhasil menjelajahi daerah Pantai Benua Afrika, mulai dari Laut Merah ke arah selatan lalu ke Barat hingga Maroko dan Laut Tengah. Ibnu Majid telah mencipta kompas dengan 32 arah mata angin. Seorang tokoh pelaut Eropah yang terkenal dalam penjelajahannya iaitu Vasco Da Gama yang berasal dari Portugis terkesima apabila melihat kompas dengan 32 arah mata angin itu.
Oleh kerana, Ibnu Majid sangat mahir dengan pelayaran dan ilmu pengetahuan geografi yang ada serta mempunyai alat yang canggih seperti  kompas dan peta maka Vasco Da Gama telah mengajaknya untuk mengikuti penjelajahannya. Pada tahun 1498 M, Ibnu Majid bersama-sama dengan pelaut terkemuka Eropah itu telah melakukan ekspedisi pelayaran. Walaupun, ekspedisi itu diketuai oleh Vasco Da Gama namun, Ibnu Majid adalah orang yang mengendalikan perjalanan laut dari benua Afrika ke India. Qutb al-Din al-Nah ra wali ( 1511 – 1582 ), menyatakan bahawa untuk mencapai Afrika Timur, orang Portugis mencari informasi terus menerus dengan menyebari Laut Arab sehinggalah berjumpa dengan seorang pelaut berbakat yang bernama Ahmad Ibnu Majid ikut sama terlibat dalam perjalanan mereka.
Vasco Da Gama telah melantik Ibnu Majid sebagai ketua pelayaran di semasa penjelajahannya. Tanpa bantuan daripada Ibnu Majid, tidak mungkin pelayar terkemuka Eropah ini mampu untuk menjayakan ekspedisinya. Oleh kerana kajayaan Ibnu Majid dalam membantu Vasco Da Gama dalam misinya menjadikan beliau lebih terkenal, bukan hanya di dunia Muslim, bahkan juga turut terkenal di dunia Barat.
Ibnu Majid yang menutup usianya pada tahun 1950 M, telah meninggalkan beberapa karya yang sangat penting bagi dunia pelayaran dan kelautan. Pada tahun 1922, seorang orientalis Prancis, Gabriel Ferrand menerbitkan suatu artikel yang menyebutkan tentang penjelajahan Arab terkenal iaitu Syihabuddin Ahmad bin Majid adalah orang yang menunjukkan Vasco Da Gama ke jalan menuju ke India. Dia menegaskan bahawa yang menemukannya adalah Ibnu Majid sebagaimana yang dinyatakan oleh penulis Yaman, Qutubuddin An-Nahrawali dalam bukunya Al-Barqul Yamani Fil Fathil Utsmani yang ditulis pada tahun 1577 M. GR Tibbetts dalam bukunya berjudul Arab Navigation in the Indian Oncean Before the Coming og the Portuguese, menyatakan bahawa karya penting yang ditiggalkan oleh Ibnu Majid adalah penting dan amat berharga. Karya yang ditinggalkan oleh Ibnu Majid ialah Kitab al-Fawaid fi Usul Ilm al-Bahr wal-Qawaid atau dikenali sebagai Buku Pedoman tentang Prinsip dan Peraturan Navigasi yang telah dihasilkan pada tahun 1490 M. Kitab ini adalah salah satu rujukan terpenting dalam bidang kelautan. Ia merupakan ensiklopedia pelayaran yang menjelaskan sejarah dan prinsip dasar pelayaran, kedudukan bulan, jenis-jenis kompas, perbezaan cara belayar di berbagai perairan, kedudukan bintang, jumlah angin musim, dan angin musim laut lainnya, taufan dan beberapa topik lain yang berkaitan dengan pelayar professional.
Kitab ini adalah hasil daripada pengalamannya dan juga pengalaman ayahnya yang juga merupakan pelayar terkenal. Karya-karya Ibnu Majid memberi pengaruh luas dalam dunia pelayaran baik di dunia Islam mahupun Barat. Karyanya juga telah memberi inspirasi dan semangat bagi para pelaut di zamannya untuk melakukan penjelajahan kerana sebelumnya sangat sedikit pelaut Arab yang berani mengharungi wilayah yang lebih jauh dari kawasan Laut Merah, Pantai Timur Afrika, hingga pantai Tenggara Afrika atau Sofala, wilayah berdekatan Medagaskar.

Karya-karya yang dihasilkan beliau juga ialah Hawiyat al-Ikhtisar fi Usul ‘Ilm all-Bihar yang bertarikh 866 H / 1462 M yang juga meceritakan mengenai ilmu laut. Buku ini terbahagi kepada beberapa bahagian. Antaranya ialah tentang tanda hampirnya darat yang perlu diketahui oleh ahli pelayaran, ilmu tahun, ilmu bahasa, ilmu bintang, tentang laluan laut di pantai Laut Arab, Hijaz, Syam dan Afrika, tentang laluan di Teluk Parsi, Lautan Hindi, Laut China, tentang pantai dan perlabuhan, garis lintang dan tentang ilmu astronomi. Al-Urjuzah al-Mu’arrabah ( 890 H / 1485 M ) menceritakan tentang pelayaran di Teluk ‘Aden. Qailah al-Islam fi Jami’ al-Dunya yang menghuraikan tentang menentukan arah kiblat dari mana-mana bahagian darat dan laut. Beliau mendakwa mempunyai kaedah yang tepat dalam perkara ini. Urjuzah Bir al-‘Arab menghuraikan tentang pelayaran di sepanjang pantai laut Arab dan Teluk Parsi. Kanz al-Mu’alimah iaitu mengenai khazanah ahli pelayaran dan sains laut, bintang, planet dan kutubnya yang belum diketahui.
Selain daripada itu lebih daripada 15 buah kitab karangan Ibnu Majid mengenai pelayaran, perjalanan bintang, angin, ambok dan lain-lain. Ibnu Majid juga telah mempelajari ilmu pelayaran menerusi Muhammad bin Shadan, Sahi bin Aban dan Layth bin Kahlah, ahli-ahli pelayaran pada zaman ‘Abbasiyah. Sumbangan yang ditinggalkan oleh Ibnu Majid bukan hanya digunakan oleh orang sezaman dengannya bahkan turut digunakan pada masa kini.                      



[1] Mahayudin Hj. Yahaya (2003). Tamadun Islam, Edisi Kedua. Kursus Komprehensif Fajar Bakt. Hal 422
[2] Ghazali Darusalam (2006). Sumbangan Sarjana Tamadun Islam, Siri Pengajian Sejarah. Utusan Publications & Distributors SND BHD. Hal 212-215

Sunday, October 2, 2011

Jarak Antara Dua Hati..

Jarak Antara Dua Hati?

Suatu hari seorang  guru bertanya kepada murid-muridnya, “Mengapa ketika seseorang sedang  marah, dia akan bercakap dengan suara kuat atau berteriak?”
Seorang murid setelah berfikir cukup lama mengangkat tangan dan menjawab, “Kerana dia telah hilang sabar, oleh itu dia berteriak.”
“Tapi…” guru bertanya kembali
“Orang yang dimarahinya hanya berada dekat dengannya. Mengapa perlu berteriak? Kenapa dia tak  berbicara secara lembut?”

Hampir semua murid memberikan pelbagai alasan yang dirasakan logik menurut  mereka. Namun tiada satu pun  jawapan yang memuaskan.
Maka guru berkata, “Ketika dua orang sedang berada dalam  kemarahan, jarak antara ke dua hati mereka menjadi amat jauh walaupun  secara luaran mereka begitu dekat. Oleh itu, untuk mencapai jarak yang demikian, mereka harus berteriak.
Namun anehnya, semakin kuat mereka berteriak, semakin pula mereka menjadi marah dan dengan sendirinya jarak hati yang ada di antara mereka  menjadi lebih jauh lagi. Kerana itu mereka terpaksa berteriak lebih kuat dan keras lagi.”

Guru masih melanjutkan, “Sebaliknya, apa yang terjadi ketika dua orang saling jatuh cinta?
Mereka tidak berteriak, mereka berbicara dengan suara yang keluar dari mulut mereka dengan begitu perlahan dan kecil. Seperlahan bagaimana pun, kedua-duanya masih dapat mendengar  dengan begitu jelas.
Mengapa demikian?” Guru bertanya sambil memerhatikan muridnya.
Mereka kelihatan berfikir panjang namun tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan. “Kerana hati mereka begitu dekat, hati mereka tak berjarak.  Sepatah kata pun tak perlu diucapkan. Sebuah pandangan mata saja cukup membuat mereka memahami apa yang ingin mereka sampaikan.”

 Ketika kita sedang dilanda kemarahan, janganlah hati kita mencipta jarak. Lebih – lebih lagi  mengucapkan kata-kata yang mendatangkan jarak hati diantara kita. Mungkin di saat seperti itu, diam mungkin merupakan cara yang bijaksana. Kerana waktu akan membantu kita
.

Hakikat Cinta Seorang Pencinta


Meningkat umur diperjalanan ini, semakin dewasa pemikiran dan perasaan.  Sungguh, kehadiran cinta menggetarkan jiwa dan rasa.  Tanpa perlu belajar, tidak perlu merujuk nota…hadirnya tidak di undang, tetap melawat dan mendiam di hati insan. 
Manusia sering menyebut tentang cinta pada hamba-hambaNya.  Ternyata kita sering lupa hakikat cinta sebenar hanya untukNya.  Rindu dan kasih sayang anugerahNya untuk kita belajar mencintaNya melebihi segalanya.  Allah tidak pernah melarang hambaNya berkasih sayang. Justeru, rasa cinta itu sendiri adalah takdirNya.
Maha Mengetahuinya Dia akan hati hambaNya.  Setiap jiwa memiliki perasaan untuk dicintai dan mencinta, maka Dia menyediakan jalan yang terbaik untuk hambaNya.  Berkahwinlah keranaNya,  mencintailah keranaNya, bertemu dan berpisah jua keranaNya,hanya untukNya.  Terlalu sayangnya Dia pada hambaNya, sentiasa memberikan kita jalan yg terindah.  Dia mengetahui fitrah yang membalut setiap manusia.  Namun, berapa ramai yg menghayati anugerahNya. Cinta nafsu yang memerangkap jiwa remaja, padahal telah Allah memberikan peringatan demi peringatan, namun teruna dan dara terus terbelit dan terkandas dalam cinta yang dianggap indah namun rupanya bersulam nafsu semata-mata. 
“ Cinta yang membuah ranum di dasar hati,
Menciptakan kemanisan pada jiwa setiap insan yang merasa,
Namun tanpa baja..tanpa dijaga,
Akar yang kukuh juga bisa rapuh,
Andai batang yang tebal jua menyembah bumi,
Manakan ranting dan dahan ingin berpaut,
Andaikan bunga yang indah berguguran sblm kembang,
Manakan buah hendak masak memerah”
Bagitulah halnya tentang cinta ini, andai perasaan yang terpendam diresipikan nafsu bukannya iman, rosaklah perasaan, tumbuhnya sekadar mngundang serangga perosak.  Buahnya meranum namun rasanya pahit.  Akhirnya dibiar mati tidak dipeduli.
Sabda Rasulullah saw:
“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.”
Riwayat Al-Bukhari
Jangan menghantar hatimu menuju kehancuran, kerana terlalu cintakan dunia dan manusia, akan memakan jiwa.  Manakan bisa seorang hamba mengharap pada hamba yang lain, sedangkan hamba yang lain jua mengharap pada Pencipta yang satu.  Sekeping hati yang dimiliki setiap jasad ini boleh berubah bila-bila masa sahaja kehendak dan kemahuannya.  Sungguh rapuh. 
Hari ini berbicara cinta, hari esok tiada rasa. Hari ini, berjanji setia..hari esok  tiada suara.  Hari ini dia milikmu, hari ini esok belum tentu.  Siapa kita untuk mengatur sekeping hati, mengatur jalan kaki sendiri ke arah yang benar pun ramai yang tidak pasti. 
Semua orang ingin dicintai, tambahan pula bila dicintai oleh insan yang mereka cintai.  Apabila cinta tidak kesampaian, ramai yang merajuk hati hingga ada insan yang lebih memilih mati hanya kerana disingkir cinta.  Alangkah ruginya titisan air mata dilepaskan untuk cinta manusia yang hidupnya hanya sementara. 
Sedangkan tidak ramai yang sanggup bergenang air mata menghayati anugerah Dia.  Tidak banyak pula yang mensyukuri nikmatNya. Berapa ramai yang sedar bahawa takdirnya adalah terbaik untuk setiap hambaNya.  Percayalah bahawasanya Dia lebih mengenali hati hambaNya.  Masakan Allah yang maha Penyayang bersikap zalim.  Dia maha mengetahui segala sesuatu baik yang nyata mahupun tersembunyi.
“ Mencintai tidak bererti memiliki..
Siapa berhak melunakkan skeping hati selain Dia,
Mencintai seseorang bermakna kamu perlu bersedia menerima,
Segala kesudahan rasa,
Mencintailah keranaNya dan kamu akan merasai lazatnya cinta,
Tiada jiwa terluka..tiada hati tersiksa,
Kerana insan percaya, takdirNya terindah dari segala peristiwa,
Kerana kita percaya, Dia menentukan segalanya.
Jodohnya manusia ada ditangannya.
Saudaraku tercinta,
Andai kehendak hati terhenti,
Percayalah, Dia sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik lagi,
Cinta yang membuatkan mu tidak lena,
Menjadikan harimu terganggu setiap masa,
Bukannya itu cinta yang diharapkan,
Itu hanya perasaan yang hanya mengundang tekanan,
Cinta sesungguhnya apabila kamu mencinta keranaNya,
Redha dengan takdirNya,
Menerima suratan dengan siapa kamu dipertemukan,
Mensyukuri pertemuan jodohmu walau bukan dengan insan idaman,
Asalkan si dia mencintai Tuhan,
Kita kan terus mencintainya tanpa alasan.
Mengapa dicari secantik Balqis, andai diri tidak sehebat Sulaiman..Mengapa mengharap teman setampan Yusof jika kasih tidak setulus Zulaikha..Mengapa mengharap teman seteguh Ibrahim andai diri tidak sehebat Siti Hajar..Mengapa didambakan teman sehidup yang sempurna Muhammad jika ada keburukan pada diri sendiri..Bimbinglah dirinya dan terimalah kekurangan itu sebagai keunikan..Carilah kebaikan itu pada dirinya. Bersyukurlah kerana dipertemukan dengannya dan berdoalah dia milikmu…
“Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi ) 
Saudaraku tersayang,
Orang yang wujud dihatinya akan suatu rasa mencintai Allah melebihi segala apa yang ada di langit dan dibumi, nescaya tiada duka buatnya.  Allah akan memenuhi rindu dihatinya, tiada lagi rindunya buat duniawi yang akan binasa.  Seseorang pecinta akan selalu berfikir dan menyebut insan yang dicintai, ibaratnya tak mati di hati, tak lekang di bibir.  Demikian jualah cinta untuk Illahi, persiapkan lisan untuk selalu menyebut indah namaNya, sediakan hati untuk selalu mengingatiNya, dan jadilah insan yang paling bahagia dalam redaNya.
Hadis Qudsi:
Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.” (Sahih Bukhari)
Amin